Wednesday, 14 February 2018

Pelepasan Cukai 2017 (e-filing 2018)

Pelepasan Cukai 2017 2018





Pelepasan Cukai 2017 LHDNM



2018 dah masuk minggu ke-2 Februari, jadi saya cadangkan kita mula lihat kembali senarai pelepasan cukai 2017.  Nanti bila e-filing untuk Tahun Taksiran 2017 di buka beberapa minggu lagi, tidak la kita kelam kabut nak tengok apa pelepasan yang boleh dan tidak. Boleh lah mula cari mana resit-resit untuk pelepasan yg disimpan hari tu. 

Saya memang akan pastikan e-filing saya di submit dlm minggu pertama e-filing di buka. Cepat hantar.... Cepat dapat refund (kalau ada). 

Perancangan percukaian adalah salah satu bentuk perancangan kewangan yang bijak. Antara cara perancangan percukaian adalah memaksimumkan tuntutan pelepasan cukai yang dibenarkan. 

Dan bagi saya, cepat hantar e-filing pun dikira perancangan kewangan yang agak bijak, sebab cepat hantar.... cepat dpt refund. 😊☺️






Peringatan
Membuat tuntutan pelepasan cukai yang layak dan betul tidak mejadi satu kesalahan. Jadi saya ingatkan awal-awal, buat tuntutan dengan betul dan layak sahaja ye. Jika buat tuntutan yang tidak betul, takut-takut nanti terpilih untuk di audit. Bila dah kena audit, selain kena bayar cukai yang terkurang bayar, kita juga terpaksa membayar penalti. Dengar kawan-kawan kata, penalti audit LHDN boleh tahan juga!!


Untuk tahun 2017 ni ada PELEPASAN BARU seperti 
Pelepasan Gaya Hidup (Terhad RM2,500),
Pelepasan Pembelian Peralatan Penyusuan (Terhad RM1,000) dan 
Pelepasan Yuran penghantaran anak ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak atau Pra-sekolah (Terhad RM1,000). 




Cepat-cepat cari resit-resit pembelian/pembayaran dahulu (bertarikh 01.01.2017-31.12.2017) dan kumpul. 
Jangan sampai pelepasan-pelepasan ni terlepas pula untuk dituntut.

Ada kawan saya baru ni kongsi pengalaman dia, yang dia terlupa (mungkin tak perasan atau tak tahu) untuk tuntut pelepasan KWSP sebanyak RM 6000 untuk 3 tahun. Suami isteri terlupa tuntut (sebab suami yang isikan borang isteri). Tak tahu sama ada rayuan mereka dibenarkan atau tidak untuk buat tuntutan semula kerana setahu saya rayuan pindaan dibenarkan untuk tempoh tertentu sahaja.

Banyak penjimatan jika mereka tuntut pelepasan tu. Katakan kadar cukai yang dikenakan kepada mereka 10%.

RM6,000  X 10% = RM 600. Itu baru seorang. Jika untuk suami isteri dan 3 tahun, banyak penjimatan mereka tu. Dan itu pun andaian kadar cukai mereka hanya 10%. Kalau  lebih, lagi banyak penjimatanynag mereka layak sebenarnya.




Jika diperhatikan untuk Tahun Taksiran 2017 ini, terdapat beberapa pelepasan yang HILANG dari tahun sebelum ini seperti pelepasan buku (RM1,000), komputer (RM3,000 - 3 tahun sekali) dan pelepasan peralatan sukan (RM 300). Pelepasan-pelepasan ini telah sekalikan di dalam Pelepasan Gaya Hidup (terhad RM2,500). Termasuk juga di dalam kategori pelepasan Gaya Hidup ini adalah untuk perbelanjaan langganan jalur lebar (dibenarkan kembali) dan juga perbelanjaan keahlian gym.

Diingatkan sekali lagi, perbelanjaan yang dibuat pada tahun 2017 sahaja yang boleh diambil kira untuk pengiraan cukai 2017 nanti. Kita kumpul resit siap-siap, nanti bila e-filing dibuka sahaja tahun hadapan untuk Tahun Taksiran 2017 kita terus submit. Mana tahu ada lebihan cukai (tax refund), nanti cepatlah kita dapat refund. Pengalaman saya 2-3 tahun ni, refund memang cepat. Biasa dalam tempoh 3-4 minggu saya dah dapat refund, tapi saya memang submit e-filing awal la dan bukan tunggu saat-saat akhir. 







Berikut saya senaraikan pelepasan cukai pendapatan bagi tahun 2017 yang saya perolehi dari laman web rasmi LHDNM.

Tuan puan juga boleh rujuk terus ke laman web LHDNM, mana tahu ada sebarang perubahan . KLIK DI SINI - Pelepasan 2017.

Jika ingin maklumat terperinci mengenai setiap pelepasan serta nota penerangan mengenainya , boleh juga lihat di laman web LHDNM dengan KLIK DI SINI - Nota Penerangan. 


Nanti pilih Kategori Individu dan Tahun Taksiran 2017 dan cari serta  download Buku Panduan BE 2017 atau Nota Penerangan BE 2017. 



Pelepasan Cukai 2017


Bil  

Jenis Potongan Individu

Amaun   

RM


1


Individu dan saudara tanggungan


9,000


2


Individu Kurang Upaya ( Tambahan )


6,000 

3
Peralatan Sokongan Asas

6,000
Terhad
4

Perbelanjaan Perubatan Ibu Bapa 
(keadaan kesihatan disahkan oleh pengamal perubatan)

ATAU
Ibu dan Bapa 
Terhad 1,500 bagi hanya seorang ibu 
Terhad 1,500 bagi hanya seorang bapa

5,000
Terhad




3,000
Terhad 
5
Yuran Pendidikan (Sendiri)

7,000 
Terhad 
6
Perbelanjaan perubatan penyakit yang sukar diubati
(individu atau suami/isteri atau anak-anak)

6,000 
Terhad 
7
Pemeriksaan perubatan penuh

500 
Terhad
8

Gaya Hidup
- Sedikit penerangan saya tulis di bawah

2,500 
Terhad
9
Pembelian peralatan penyusuan

1,000 
Terhad

10
Yuran penghantaran anak ke Pusat Asuhan Kanak-Kanak 
atau Pra-sekolah

1,000 
Terhad

11
Tabungan bersih dalam skim SSPN 
(jumlah simpanan tolak pengeluaran dalam tahun 2017)

6,000 
Terhad
12

Faedah pembelian rumah
(Perjanjian jual beli ditandatangani dalam tempoh

 10/03/2009 - 31/12/2010 ) 
- Sedikit penerangan saya tulis di bawah
- Rujuk Laman Web LHDN untuk maklumat terperinci

10,000
Terhad

13
Suami/Isteri/Bayaran alimoni kepada bekas isteri
4,000
Terhad
14
Suami/Isteri kurang upaya
3,500


15


Anak di bawah umur 18 tahun



2,000

16

Anak berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan
menerima pendidikan penuh.
 (A-level, matrikulasi / pra-ijazah)


2,000

17


Anak berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan 
tertakluk kepada syarat-syarat berikut:


(i) diploma dan ke atas di institusi pengajian tinggi dalam
 Malaysia (tidak termasuk kursus matrikulasi/pra-ijazah.
(ii) mengikuti kursus di peringkat ijazah dan ke atas 
di institusi pengajian tinggi luar Malaysia.
(iii) kursus dan institusi pengajian tinggi diiktiraf 
oleh pihak berkuasa Kerajaan
8,000 
18

Anak Kurang upaya

6,000



Pelepasan tambahan RM 8,000Anak Kurang Upaya 
yang berumur 18 tahun ke atas,
belum berkahwin dan mengikuti diploma ke atas 
di dalam Malaysia @ peringkat ijazah ke atas 
di luar Malaysia dalam kursus  dan di IPT yang diiktiraf 
oleh pihak berkuasa Kerajaan yang berkaitan.
19
Insuran nyawa dan KWSP
6,000
Terhad
20Skim Persaraan Swasta dan Anuiti Tertunda3,000
Terhad
21Insurans pendidikan dan perubatan3,000
Terhad
22Caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO)
250 
Terhad













Sedikit tambahan info untuk ;

Pelepasan Gaya Hidup (RM 2,500)

Pelepasan ini merangkumi:
(i) Pembelian buku, jurnal, majalah, suratkhabar bercetak dan penerbitan (selain bahan bacaan terlarang) untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak;
(ii) Pembelian komputer peribadi, telefon pintar atau tablet untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak;
(iii) Pembelian peralatan sukan untuk aktiviti sukan mengikut Akta Pembangunan Sukan 1997 (tidak terpakai bagi jenis basikal bermotor) dan bayaran keahlian gimnasium untuk diri sendiri, suami / isteri atau anak; dan
(iv) Bayaran langganan internet


Pembelian Komputer termasuk komputer, telefon pintar atau tablet. 



Pelepasan SSPN (Terhad RM 6,000)

Pelepasan ini hanya boleh di tuntut tertakluk kepada simpanan bersih untuk tahun 2017. 

Katakan sepanjang tahun 2017 kita membuat simpanan tambahan di akaun SSPN berjumlah RM3,000 dan tiada sebarang pengeluaran dibuat, maka kita layak menuntut pelepasan sebanyak RM5,000.

Tetapi jika pada tahun yang sama kita juga ada membuat pengeluaran dari akaun SSPN, katakan pengeluaran sebanyak RM 2,000. Makan tuntutan pelepasan SSPN hanya dibenarkan sebanyak RM1,000 sahaja. 

(Jumlah simpanan - jumlah pengeluaran = simpanan bersih) 

Tahun lepas saya ada menulis sedikit mengenai pelepsan SSPN-i. Boleh baca di sini 👉👉 PELEPASAN SSPN-i  👈👈

Jika yang ada anak di Tahun Satu pada tahun 2018 ni, jangan lupa tuntut RM 500 insentif yang kerajaan beri. 
 👉👉 Insentif Geran Sepadan RM 500 👈👈


ingin membuka akaun SSPN-i plus pula, boleh klik di link di bawah
👉👉 BUKA AKAUN SSPN-i Plus 👈👈





Pelepasan Faedah Pinjaman Pembelian Rumah (RM 10,000)

Ingat : pelepasan ini hanya diberikan kepada mereka yang membeli rumah dan perjanjian jual beli bertarik di antara 10/03/2009 - 31/12/2010. Perjanjian selain dari tarikh ini tidak layak ye untuk tuntutan pelepasan ini.


Tuntutan boleh dibuat setiap tahun selama 3 tahun berturut-turut bagi faedah/caj keuntungan yang dikenakan. Faedah dan caj keuntungan sahaja ye, bukan bayaran prinsipal.


REBAT CUKAI

Bagi pemastautin di Malaysia, mereka juga layak untuk menuntut rebat seperti berikut :

 Jenis Rebat Amaun Rebat Nota
Diri

 RM 400

Pendapatan bercukai tidak melebihi 
RM 35,000
Suami / Isteri

 RM 400


Pendapatan bercukai tidak melebihi 
RM 35,000 dan suami/isteri tiada 
pendapatan 
Zakat / Fitrah

 Terhad sehingga jumlah 
 cukai dikenakan
Zakat dibayar dalam tahun kalendar






Beza Pelepasan dan Rebat Cukai 


Pelepasan Cukai dan Rebat Cukai adalah perkara yang berbeza. Mungkin ada yang masih keliru di antara kedua-duanya, terutama bagi yang pertama kali menghantar borang cukai / e filing.





Contoh Pengiraan Tolakan Pelepasan 


Katakan pendapatan penggajian kita berjumlah RM 60,000 dan kita mempunyai 3 orang anak di bawah 18 tahun. Jadi kita layak menuntut pelepasan anak sebanyak RM 6,000 ( RM2,000 x 3).

Amaun pelepasan anak tadi (RM6,000) akan ditolak dari amaun penggajian RM60,000. Jadi pendapatan yang akan dikenakan cukai hanyalah RM 54,000.


Jadi hanya RM54,000 akan dikenakan cukai. 


Ini hanyalah contoh pengiraan tuntutan pelepasan dan tidak termasuk lain-lain pelepasan lagi seperti pelepasan untuk diri sendiri, KWSP dan sebagainya.



Contoh pengiraan tolakan Rebat (Zakat) 


Zakat seperti dinyatakan di jadual di atas, ia tidak dikategorikan sebagai pelepasan tetapi sebagai rebat. Bagi muslim yang membayar zakat, amaun zakat yang dibayar dibenarkan untuk potongan sehingga 100% dari amaun cukai. Pastikan resit bayaran zakat di simpan untuk tujuan rekod dan semakan oleh pihak LHDNM. 



Contoh : 
Mat membayar zakat sebanyak RM2,000


Pendapatan Bercukai RM54,000

Cukai pendapatan dikenakan sebanyak RM3,140 (sebelum tolakan zakat)



Amaun zakat yang dibayar (RM2,000) boleh ditolak sepenuhnya.


Cukai dikenakan RM 3,140
Tolak : Rebet Zakat RM 2,000
Cukai kena bayar RM 1,140


Boleh baca juga 
 👉👉 Pindaan E-Filing  👈👈



Seperti biasa...pesanan saya...."Sayangilah Wang Anda"

~Mat-Drat @SayangWang~

Jika rasa bermanfaat , sila share 👇👇👇👇




Saturday, 10 February 2018

Dividen KWSP 2018 (Akaun berakhir 2017)

Dividen KWSP EPF 2018 2017





KWSP umum dividen bagi akaun berakhir 2017 

KWSP telah mengumumkan kadar dividen kepada ahli-ahlinya pada hari ini.

Kadar dividen yang diumumkan adalah :

- 6.90% Simpanan Konvensional
- 6.40% Simpanan Shariah

Bagi ahli yang telah menukar dari Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah, dividen yang diterima sedikit kurang.

Bagi saya, dividen bagi Simpanan Shariah ini tidak lah mengecewakan memandangkan ia adalah satu fund yang baru dan pastinya dan pulangan 6.40% boleh dikira baik.

Tambahan pula, pelaburan  shariah dari sektor tertentu agak limited berbanding konvensional seperti di sektor perbankan. Jadi fund untuk Simpanan Shariah mungkin memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan pulangan pelaburan yang lebih tinggi, untuk memberikan pulangan yang lebih tinggi kepada ahlinya.

Apa pun, bagi mereka yang telah bertukar kepada skim simpanan shariah, seharusnya berasa lega kerana dividen yang diterima adalah bersih dan tidak lagi perlu dibuat pembersihan keatas dividen yang diterima seperti tahun-tahun sebelum ini.










Dividen KWSP / EPF 2017  berbanding tahun sebelum.

Tahun lepas kadar dividen yang dimumkan adalah sebanyak 5.70% dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion. Walau pun agak rendah berbanding tahun sebelum, tetapi para pencarum terpaksa menerimanya di dalam keadaan ekonomi dan pasaran yang semakin mencabar.


Tahun sebelum iaitu pula iaitu bagi tahun 2015, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.40%


Bagi akaun 2017, prestasi KWSP nampaknya semakin meningkat dan dividen yang diumumkan me;ebihi 6% iaitu 6.90% bagi simpanan konvensional dan 6.40% bagi simpanan shariah.





Rekod Pembayaran Dividen KWSP sebelum ini :

Berikut adalah rekod pembayaran dividen bagi 10 tahun terakhir 
  • 2007 - 5.80 %
  • 2008 - 4.50 %
  • 2009 - 5.65 %
  • 2010 - 5.80 %
  • 2011 - 6.00 %
  • 2012 - 6.15 %
  • 2013 - 6.35 %
  • 2014 - 6.75 %
  • 2015 - 6.40 %
  • 2016 - 5.70 %


" Sayangi Wang Anda dan Gandakan Wang Anda dengan banyakkan bersedekah"

~Mat-Drat @SayangWang~



Jika rasa bermanfaat , sila share 👇👇👇👇








Thursday, 8 February 2018

Percuma RM 500 untuk SSPN1M

Percuma RM 500 untuk SSPN1M
Geran Sepadan GS 500 - RM 500 percuma dikreditkan



Hari ni, RM 500 percuma yang di war-warkan oleh telah dikreditkan ke akaun SSPN1M anak-anak saya. Alhamdulillah.

Untuk yang belum tahu, RM 500 ni percuma ye... Kerajaan bagi. Tak susah pun nak dapat. Kita tak dapat BR1M, kita rebut la apa yang kerajaan bagi....

Kalau yg dah top-up tu, nak semak akaun boleh semak di link PTPTN bawah ni

https://www.ptptn.gov.my/saving/sspnlogin.html



Buka akaun SSPN1M-i Plus

(Image : Facebook PTPTN)






Jadi saya kongsikan semula mengenai GS500 - Geran Sepadan RM 500 ini ye.


Insentif GS 500 - Geran Sepadan RM 500 Percuma 

Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM250 juta di dalam #Bajet2018 kepada 500,000 kanak-kanak yang berumur 7-12 tahun untuk geran sepadan GS500 ini. Setiap kanak-kanak layak mendapat RM500 ini secara percuma jika memenuhi syarat yang ditetapkan.


Untuk yang belum tahu juga,  SSPN1M adalah Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia yang dijenamakan semula dari produk simpanan PTPTN yang dulunya disebut SSPN. 

SSPN1M terdiri dari SSPN1M-i yang dahulunya dikenali dengan SSPN-i dan SSPN1M-i plus yang dulunya dikenali dengan SSPN-i plus.



Apa itu Insentif Khas Geran Sepadan RM500 ini.

1. Insentif Geran Sepadan RM 500 (GS500) ini adalah insentif dari budget 2018.

2. Skim insentif ini bermula dari 1 Januari 2018 sehingga 31 Disember 2018 

3. Insentif ini hanya diberi kepada anak-anak berumur 7-12 tahun pada tahun 2018 atau sedang belajar di sekolah rendah.

4. Perlu membuka akaun SSPN1M dan membuat deposit minimum bersih RM500 dalam tahun 2018 (mulai Januari)  untuk mendapatkan GS500 ini.









Bagaimana untuk mendapatkan RM 500 ini.

1. Yang belum ada akaun SSPN1M-i / SSPN1M-i plus
- Buka akaun dan buat simpanan. 

2. Jika sudah ada akaun SSPN1M-i / SSPN1M-i plus
- Mula buat simpanan tambahan kedalam akaun.

3. Apabila simpanan bersih mencapai RM500 dalam produk yang sama. (Ini tidak termasuk jumlah takaful bagi akaun  SSPN1M-i plus), amaun RM 500 akan dikreditkan ke dalam akaun yang sama.
(boleh lihat gambar penyata yang saya kongsikan di atas)


Image : Facebook PTPTN



Permohonan

1. TIDAK PERLU buat permohonan untuk mendapatkan GS500 ini. GS500 ini akan diberikan secara automatic.

2. Insentif ini akan diberikan pada hujung bulan yang sama setelah jumlah simpanan bersih mencecah RM500, DAN ia tertakluk kepada peruntukan RM250 juta – atau 500,000 akaun terawal. Jadi, kena cepat sebelum peruntukan RM 250 juta habis.


Saya dah depositkan pada bulan Januari dan pada 8hb penyata telah menunjukkan amaun RM 500 ini telah dikreditkan ke akaun SSPN1M anak saya.

Setahu saya, setiap 8hb PTPTN akan kemas kini akaun SSPN1M , jadi perlu tunggu sehingga 8 hb baru nampak amaun dikreditkan. Bukan pada hari terakhir bulan tersebut ye.
(boleh lihat gambar penyata yang saya kongsikan di atas)




Contoh Simpanan

Contoh 1 :
Pendeposit keluarkan wang RM500 dari akaun SSPN1M-i dan depositkan RM500 ke akaun SSPN1M-i plus bagi akaun penerima manfaat (anak) yang sama, maka anak TIDAK LAYAK dapat GS500.


Contoh 2 :
Pada bulan yang sama, pendeposit keluarkan RM200 dari akaun SSPN1M-i  dan kemudian masukkan balik RM 500 ke akaun SSPN1M-i  tadi, maka anak TIDAK LAYAK dapat GS500 ini kerana simpanan bersih tidak capai minimum RM500


Contoh 3 :
Pendeposit buat simpanan RM200 ke akaun SSPN1M-i  dan RM300 ke akaun SSPN1M-i plus , maka anak TIDAK LAYAK mendapat GS500 ini kerana ia tidak didepostkan ke akaun produk yang sama.






Apa lagi yang PERLU anda tahu mengenai GS 500 ini.


Pengeluaran

1. Insentif GS500 ini HANYA BOLEH DIKELUARKAN apabila penerima manfaat (anak) mencecah umur 18 tahun.

2. Jika penerima manfaat belum mencecah 18 tahun, simpanan selain insentif GS 500 ini BOLEH DIKELUARKAN dengan syarat baki mimimum mestilah sekurang-kurangnya RM1,000 termasuk amaun insentif GS 500 ini.

Contoh
Kalau ada buat simpanan RM1,500 dan kemudian mendapat GS500. Keseluruhan simpanan berjumlah RM 2,000. Pendeposit hanya DIBENARKAN BUAT PENEGELUARAN maksimum sebanyak RM1,000 sahaja.



3. Jika pendeposit ingin MENUTUP akaun sebelum penerima manfaat (anak) berumur 18 tahun, GS500 ini TIDAK BOLEH dikeluarkan, hanya jumlah simpanan dan dividen sahaja boleh dikeluarkan. Insentif ini akan ditarik balik.

4. Jika Pendeposit atau Penerima Manfaat Meninggal Dunia sebelum penerima manfaat beumur 18 tahun, akaun perlu ditutup dan LAYAK menerima GS500



Ada Akaun Lain

1. Jika penerima manfaat (anak) mempunyai 2 akaun yang dibuka oleh ibu dan ayahnya, GS500 hanya akan diberi sekali sahaja. Akaun yang terlebih dahulu mencapai simpanan bersih RM 500 akan mendapat GS 500 ini.

2. Jika pendeposit (ayah atau ibu) mempunyai lebih dari seorang penerima manfaat (anak) yang berumur 7-12 tahun, SETIAP penerima manfaat LAYAK mendapat GS 500 ini apabila memenuhi syarat yang ditetapkan.



Dividend dan Pengecualian Cukai

1. Insentif GS500 ini TURUT LAYAK mendapat dividen

2. Amaun GS500 ini TIDAK LAYAK untuk Pelepasan Cukai kerana ia bukanlah simpanan pendeposit tetapi Geran dari Kerajaan.

3. Pendeposit layak mendapat Pelepasan Cukai bagi SSPN1M bagi jumlah bersih simpanan. Kerajaan melanjutkan lagi 3 tahun bagi Pelepasan Cukai SSPN1M (Dulunya Pelepasan SSPN)

Baca Lanjut mengenai





~Mat-Drat @SayangWang~



Jika rasa bermanfaat , sila share 👇👇👇👇