Sunday, 11 October 2020

9 PENAMA - Pilih Yang Layak Dan Amanah : Pengurusan Harta Pusaka




PENAMA

Penama (nominee) bermakna nama (nama-nama) yang diletakkan sebagai penerima yang diberi kebenaran untuk menuntut harta yang ditinggalkan. Ia biasanya dikaitkan dengan KWSP, Simpanan Tabung Haji, Insuran, Takaful dan Simpanan (pelaburan) koperasi.

PENAMAAN

Penamaan yang dibuat akan memudahkan pengurusan harta pusaka si mati kerana wang dapat dikeluarkan dengan cepat tanpa perlu menunggu Sijil Faraid atau Surat Kuasa Mentadbir.

Penama hanya bertindak sebagai pemegang amanah yang akan menguruskan wang tersebut.

Harus di ingat, membuat penamaan bukanlah satu bentuk wasiat.



Adakah Penama Penerima Mutlak Duit Tersebut ?

Orang Islam
Bagi Orang Islam, penama bukanlah penerima atau benefesiari ke atas harta tersebut. Dia hanyalah bertindak sebagai pemudah cara atau pentadbir sahaja. 

Penama, apabila dia mengeluarkan duit si mati dari KWSP, Tabung Haji atau Takaful contohnya, dia perlu mengagihkan duit tersebut kepada waris-waris  mengikut faraid.

Boleh lah dikatakan, penama akan bertindak sebagai wasi (atau pentadbir harta tersebut).

Jika si mati ada melantik mana-mana pihak sebagai pentadbir harta pusakanya, dia perlu memaklumkan kepada pentadbir harta tersebut.

Tetapi sering berlaku, penama mengeluarkan wang si mati tidak membahagikan wang mengikut faraid. 

Ingatlah 
Kepada penama yang diamanahkan, bahagikan harta  tersebut dengan sepatutnya kerana di dalam harta pusaka itu ada hak orang lain. Jika ada bahagian anak yatim (anak simati), dosa yang ditanggung amatlah besar sekiranya hak anak yatim itu tidak diagihkan kepada mereka.


Bukan Islam
Berbeza pula kepada orang bukan Islam, penama adalah juga penerima atau benefisiari bagi harta si mati selagi mana dia ada kaitan pertalian saudara dengan si mati.

Pilihan Selain Penama

Tabung Haji dan Insuran (Takaful) ada memberi pilihan kepada pendeposit/pencarum insuran(takaful) untuk menukar dari kaedah 'penama' kepada Hibah Amanah atau Hibah Bersyarat.

Kaedah ini, nama yang diletakkan sebagai penerima hibah, adalah penerima mutlak wang tersebut dan ia tidak tertakluk sebagai harta pusaka.

Boleh baca perkongsian penulis sebelum ini.
👉👉 Hibah 
👉👉 Hibah Amanah

Fatwa Mengenai Penama

Dalam mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-96 yang diadakan pada 20 September 1973, Jawatankuasa itu telah memberi pendapat dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja bahawa:
“Penama-penama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Wang Simpanan Pejabat Pos, Bank, Insurans dan Syarikat Kerjasama adalah sebagai orang-orang yang melaksanakan wasiat si mati atau wasi. Mereka boleh menerima wang si mati dari sumber-sumber tersebut untuk dibahagikan kepada orang-orang yang berhak menururt pembahagian Faraid”.
Fatwa ini jelas menyatakan bahawa penama adalah seorang pemegang amanah (wasi) yang akan melaksanakan wasiat si mati untuk membahagikan harta tersebut kepada mereka yang berhak menurut faraid. Oleh itu, harta tersebut bukanlah menjadi milik mutlak penama.

Selain itu, fatwa Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang diwartakan pada 18 Januari 2001 memutuskan bahawa:-

"Orang Islam yang dinamakan sebagai penama oleh simati dalam apa-apa skim simpanan wang dalam mana-mana Kumpulan Wang Simpanan, Insurans, Tabung, Lembaga, Syarikat Kerjasama, Koperasi atau institusi kewangan ialah wasi kepada simati dan hendaklah membahagikan harta peninggalan kepada waris yang berhak mengikut pembahagian faraid."


Pentadbir Harta

Pentadbir Harta Pusaka yang juga dikenali sebagai Wasi adalah wakil yang di lantik untuk menguruskan harta pusaka si mati, di mana dia perlu melaksanakan wasiat, melangsaikan hutang piutang si mati dan membahagikan harta pusaka si mati mengikut faraid.


Pentadbir Harta Pusaka biasanya dilantik melalui wasiat. 

Jika tiada lantikan di dalam wasiat, atau tiada wasiat dibuat, maka Surat Kuasa Mentadbir Harta Pusaka akan dikeluarkan oleh 
  • Mahkamah Tinggi bagi Harta Pusaka Biasa - bagi Harta Alih dan Tidak Alih melebihi RM 2,000,000
  • Pejabat Tanah (Bahagian Harta Pusaka Kecil) - bagi harta bernilai bawah RM 2,000,000


Adakah Penama itu Pentadbir Harta ?

Penama tidak semestinya adalah Pentadbir Harta Pusaka tetapi 
Penama juga boleh menjadi Pentadbir Harta Pusaka. 

Kita lihat contoh senario berikut; 
(andaikan si mati tidak membuat Hibah Amanah atau Hibah Bersyarat)

Senario 1 : Penama Bukan Pentadbir Harta  
(Ada penamaan, Ada Wasiat - orang berbeza)

Ali membuat penamaan di KWSP, Tabung Haji dan Takaful dengan meletakkan nama isteri dan bapanya sebagai penama. Selepas mendapat anak, Ali tidak membuat pembaharuan nama penama.

Ali juga ada membuat wasiat di mana dia menamakan anak sulungnya Kamal sebagai pentadbir harta pusaka.

Maka di sini, Penama (isteri dan bapanya) bukanlah pentadibir harta pusaka si mati.

Isteri dan bapanya perlu memaklumkan kepada Kamal jumlah yang diterima bagi memudahkan kamal menyelesaikan hutang dan membahagikan duit tersebut mengikut faraid.


Senario 2 : Penama Adalah Pentadbir Harta  
(Ada penamaan, Ada Wasiat -orang sama)
Ali membuat penamaan di KWSP, Tabung Haji dan Takaful dengan meletakkan nama isteri, dan anak sulongnya (Kamal) dan anak kedua (Rahim) sebagai penama.

Ali membuat wasiat dengan meletakkan Kamal sebagai pentadbir harta pusakanya.

Maka ;
Isterinya hanya penama tetapi bukan pentadbir harta pusaka
Rahim hanya penama tetapi bukan pentadbir harta pusaka
Kamal adalah penama dan pentadbir harta pusaka.

Penerima bukanlah sebagai penerima mutlak (benefeciari) tetapi perlu membahagikan mengikut hukum faraid.


Senario 3 : Penama Adalah Pentadbir Harta  
(Ada penamaan, Tiada Wasiat )
Ali membuat penamaan di KWSP, Tabung Haji dan Takaful dengan meletakkan nama isteri, dan anak sulongnya (Kamal) dan anak kedua (Rahim) sebagai penama.

Ali tidak membuat sebarang wasiat dan tiada lantikan pentadbir harta dibuat.

Penama boleh membuat pengeluaran kematian tetapi duit yang dikeluarkan masih perlu diagih mengikut faraid.

Waris-waris si mati boleh bersepakat untuk melantik mana-mana pihak sebagai pentadbir harta pusaka. Jika Kamal dilantik, maka Surat Kuasa Mentadbir akan dikeluarkan kepada Kamal untuk memudahkan Kamal membuat pengurusan harta pusaka yang lain.

Jadi Kamal adalah Penama dan juga Pentadbir Harta Pusaka.


Senario 4 : Tiada penamaan, Tiada Wasiat  
Ali tidak membuat penamaan di KWSP, Tabung Haji atau Takaful. Wasiat juga tidak dibuat.

Maka waris-waris boleh bersepakat melantik seorang sebagai Pentadbir Harta Pusaka. Permohonan perlu dibuat di Bahagian Harta Pusaka Kecil, Pejabat Tanah atau Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir.

Makan waris / pihak yang dilantik sebagai pentadbir harta pusaka boleh memohon mengeluarkan wang / membuat tuntutan wang si mati.

Proses akan memakan masa di mana persetujuan perlu dicapai untuk melantik pentadbir harta dan kebenaran perlu diperolehi terlebih dahulu.

Masalah akan bertambah sulit jika si mati meninggalkan ramai waris dan kelulusan akan mengambil masa yang lama.

Penting
Jadi, jelas penamaan adalah sangat penting.

Dan sangat penting juga melantik penama yang berkelayakan dan boleh dipercayai untuk mengagihkan wang mengikut faraid.


Siapa Boleh diletakkan Sebagai Penama

Siapa yang boleh diletakkan sebagai penama adalah bergantung kepada institusi terbabit. 



Ada institusi yang membenarkan individu, ada pula turut mebenarkan organisasi menjadi penama seperti peguam atau syarikat amanah.



Bagi individu yang ingin diletak sebagai penama, ada institusi menghadkan umur tertentu dan ada yang tidak.


Ada institusi membenarkan penama sesiapa sahaja, dan ada hanya membenarkan penama mesti terdiri dari waris terdekat.

Jadi, siapa yang boleh diletak sebagai penama ia bergantung kepada institusi terbabit.



Bila Perlu Buat Penama dan Perbaharuan Penamaan

Penamaan perlu dibuat secepat yang boleh. 

Jika ada perubahan berikut, elok penamaan di ubahsuai atau dikemaskini ;

  1. Berkahwin
  2. Memperolehi anak
  3. Anak mencecah usia 18 tahun 
  4. Penama meninggal dunia
  5. Bercerai
  6. Perubahan perancangan harta pusaka

Meletakkan Pasangan Sebagai Penama


Sering kali kita diwar-warkan kebiasaannya si suami akan meletakkan nama isteri dan anak-anak sebagai penama.

Berbeza pula dengan si isteri, sering juga kita dengar isteri lebih suka tidak meletakkan nama suami sebagai penama, hanya meletakkan nama anak-anak dan ibu bapa mereka sahaja.

Ia terpulang kepada individu, tetapi bagi pandangan penulis, adalah lebih baik meletakkan nama pasangan masing-masing, lebih-lebih lagi sekiranya anak-anak masih kecil.

Ini akan lebih memudahkan urusan, kerana biasanya pasanganlah yanga kan menguruskan semua urusan tuntutan harta pusaka dan pasangan jugalah yang akan membesarkan anak-anak.


Apa Jadi Apabila Berlaku Kematian Serentak  Suami Isteri
Jika berlaku tragedi seperti ini, jika ada penama lain, wang akan dikeluarkan kepada mereka. Jika tiada, surat kuasa mentadbir perlu diperolehi terlebih dahulu oleh mana-mana pihak untuk membuat tuntutan pengeluaran harta si mati

Meletakkan Kanak-kanak di bawah umur 18 tahun sebagai Penama 

Meletakkan nama anak-anak di bawah 18 tahun sebenarnya bukanlah satu tindakan yang bagus, kerana kanak-kanak di bawah 18 tahun tidak dapat mengeluarkan duit tersebut di mana dia tidak layak menjadi pentadbir harta pusaka.

Berbeza bagi bukan Islam, penama di bawah 18 tahun boleh terus menerima wang tersebut kerana penama adalah penerima (benefeciari).


Penama KWSP di bawah umur 18 tahun  

Mengikut undang-undang, penamaan tidak akan berkuat kuasa sekiranya ketika kematian ahli, penama belum mencapai umur 18 tahun kerana tidak layak bertindak sebagai wasi.

Pembayaran simpanan ahli yang meninggal dunia akan diproses seperti tiada penamaan, iaitu mengikut pembahagian sijil faraid, perintah pembahagian atau surat kuasa mentadbir. Ia dilaksanakan berdasarkan mana-mana yang dikemukakan dulu kepada KWSP.

Jadi, jika kita meletakkan anak-anak di bawah 18 tahun dan berlaku kematian ke atas ahli, anak-anak di bawah 18 tahun tidak dapat mengeluarkan wang tersebut. Walau bagaimana pun, hak mereka (anak-anak bawah 18 tahun) tetap terpelihara di mana bahagian mereka akan dibahagi mengikut faraid oleh pentadbir harta atau wasi.

Pernah 'viral' suatu ketika dahulu di whatsapp, yang kononnya kanak-kanak di bawah usia 18 tahun yang didaftar sebagai penama caruman KWSP tidak berhak menuntut wang simpanan. Mesej tular itu juga mendakwa wang pendeposit yang tidak dituntut dalam tempoh setahun akan terus disalurkan ke Amanah Raya Berhad (ARB), seolah-olah menafikan hak anak atau penama berusia 18 tahun ke bawah sebagai pewaris.

Jadi, adalah lebih baik meletakkan penama yang berumur 18 tahun ke atas, yang kita percaya dia memahami kepentingan hukum syarak, mengetahui kepentingan faraid dan amanah.


Penama KWSP

Ahli yang beragama Islam adalah dinasihatkan supaya menamakan mana-mana individu sebagai penama yang bertindak selaku wasi/pentadbir yang berkeupayaan untuk menguruskan pengeluaran dan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Undang - Undang Islam. 

Ahli KWSP juga boleh meletakkan ARB sebagai penama KWSP

Lantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama KWSP
  1. Ahli juga boleh melantik Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai penama (wasi/pentadbir)
  2. Ahli juga boleh melantik ARB sebagai penama atau pemegang amanah kepada penama di bawah umur 18 tahun.
  3. Bagi ahli yang melantik ARB sebagai penama atau pemegang amanah, satu fi (bayaran) akan dikenakan oleh ARB yang akan ditolak daripada jumlah pengeluaran simpanan. 
Boleh hubungi ARB untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dengan fi ini.


Pengalaman Penulis
Pernah suatu waktu dahulu membuat wasiat menggunakan ARB dengan bayaran perkhidmatan tertentu tetapi pada waktu itu tidak tahu ada yuran perkhidmatan dikenakan apabila melantik ARB sebagai pentadbir harta (wasi)

Mungkin berminat untuk baca ;
👉👉 Wasiat di Amanah Raya Berhad (ARB)

Penama Tabung Haji

Dari laman web Tabung Haji 
Penamaan dibuat untuk memudahkan waris membuat pengeluaran wang simpanan si mati tanpa perlu mengemukakan Surat Kuasa atau Perintah daripada pihak berkaitan (Bicara Kecil Pejabat Tanah, Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil, Amanah Raya Berhad).
Penamaan mestilah dibuat oleh pendeposit semasa hayatnya dengan melengkapkan Borang Penamaan yang disediakan oleh TH dan dihantar ke mana-mana pejabat TH yang berhampiran untuk didaftarkan ke dalam sistem TH. Tarikh kuat kuasa penamaan adalah pada tarikh borang penamaan diterima dan didaftarkan.
Tidak semua boleh jadi penama. Hanya waris menurut Hukum Syarak sahaja boleh diletakkan sebagai penama.

Untuk mereka yang layak, boleh rujuk 
👉👉 Penama Tabung Haji

Untuk pilihan Hibah Amanah bagi menggantikan penama, boleh rujuk
👉👉  Hibah Amanah



Penama Takaful / Insuran

Untuk penamaan bagi takaful, perlu dirujuk kepada syarikat takaful. 

Ada syarikat takaful turut memberikan pilihan kepada pencarum (peserta) takaful untuk memilih Hibah berbanding Penama. 

Penama ASNB  (ASB, ASN, ASW dll)

ASNB tidak menggunakan sistem penama.


Dari Facebook ASNB

"Semua pelaburan dalam ASNB yang ditinggalkan oleh pelabur yang telah meninggal dunia perlu dituntut oleh pewaris berdasarkan proses tuntutan harta pusaka biasa dengan mendapatkan terlebih dahulu Surat Kuasa Mentadbir, dan harta hendaklah membuat pembahagian mengikut faraid." 

"Bagi memudahkan pelabur menamakan pewaris (untuk pelaburan dalam ASNB), ASNB menawarkan perkhidmatan Hibah Amanah untuk pelabur Muslim dan Pengisytiharan Amanah untuk pelabur bukan Muslim."

'Menerusi Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah, proses tuntutan oleh waris dapat dipermudahkan kerana mereka hanya perlu membuat tuntutan terus di Cawangan ASNB, tanpa membabitkan pihak lain."


Caj yang dikenakan juga amat kompetitif berdasarkan proses pendaftaran dan tuntutan yang dipermudah, berbanding proses pentadbiran dan tuntutan harta pusaka lain yang membabitkan masa dan tempoh yang agak panjang.


Untuk pilihan Hibah Amanah, bagi menggantikan penama, boleh rujuk
👉👉  Hibah Amanah




Bersambung di artikel berikutnya.

Mat Drat @ SayangWang

Jika rasa bermanfaat , sila share 👇👇👇👇


No comments:

Post a Comment