Sunday 11 October 2020

7 HIBAH HARTA : Pengurusan Harta Pusaka





HIBAH HARTA

Dalam Islam, hibah juga salah satu instrumen/kaedah dalam perancangan kewangan. Ia sering digunakan di dalam perancangan harta pusaka disamping faraid, wasiat, wakaf dan harta sepencarian.

Ia adalah salah satu cara pemilikan harta yang sah di sisi syarak.


Maksud Hibah

Hibah dari segi bahasa adalah pemberian sama ada dalam bentuk 'ain' atau manfaat. 'Ain' bermaksud nyata, jelas kelihatan harta tersebut.

Hibah mengikut istilah syarak pula adalah suatu akad pemberian harta oleh seseorang secara sukarela kepada orang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan ('iwad').


Hibah dalam Islam

Hibah adalah satu amalan yang disunatkan di dalam Islam berdasarkan beberapa nas Aal Qurran dan Sunnah.

Antara ayat Al Qurran : Alla SWT berfirman yang bermaksud "
"....... dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orangorang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya.” (Surah al-Baqarah ayat 177
Berdasarkan hadis Rasulullah SAW, Saidatina Aisyah berkata yang bermaksud: 
“Nabi SAW menerima dan membalas hadiah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Siapa sesuai gunakan kaedah hibah ?

Semua orang boleh menggunakan kaedah ini, TETAPI mereka yang terdiri dari kategori di senarion bawah, mungkin perlu beri perhatian lebih kepada kaedah 'pemberian hibah' ini.

1. Pasangan Tiada Anak
Jika tiada anak, apabila berlaku kematian, maka harta akan diagihkan mengikut faraid seperti berikut  ;
- suami dapat sebanyak 1/2 bahagian jika isteri meninggal
- isteri dapat sebanayk 1/4 bahagian jika suami meninggal
Jadi mungkin dia rasakan dia perlu membuat hibah keatas harta tertentu, untuk diberikan kepada sesiapa yang dia rasa ingin berikan, mungkin pasangannya atau orang lain (ahli keluarga lain contohnya)

2. Pasangan Yang hanya ada anak perempuan
Jika pasangan hanya memiliki 2 anak perempuan, dan berlaku kematian ke atas suami. Dan suami pula meninggalkan waris isteri, anak perempuan  dan adik beradik si suami (ibu dan ayah telah meninggal).

Jadi harta pusaka yang dibahagikan mengikut faraid adalah 
- isteri dapat : 1/8  (12.5%)
- anak perempuan : 2/3 ( 66.66%) . Setiap anak 33.33%
- adik beradik : 5/24 (20.9 %)

Jadi mungkin si suami merasakan dia perlu buat hibah keatas sebagahian harta-hartanya.

3. Pasangan Yang hanya ada anak angkat
Anak angkat tidak boleh menerima (tiada hak) ke atas harta pusaka. 

Bayangkan, anak angkat yang telah di jaga dan dibesarkan dengan kasih sayang, tiba-tiba berlaku kematian kepada si ayah atau pun kedua-dua ibu bapa angkatnya. Tiada apa yang boleh diwarisi kepada anak angkat!!

Mungkin pasangan ini juga perlu mempertimbangkan untuk menghibahkan sebahagian harta atau harta tertentu kepada anak angkatnya.

4. Lelaki atau wanita Bujang
Lelaki atau wanita bujang yang masih memiliki ibu dan ayah mungkin tidak terlalu khuatir mengenai harta pusakanya. Tetapi bagi yang sudah tiada ayah dan ibu, mungkin perlu mempertimbangkan kaedah hibah dalam perancangan harta pusakanya.

Apabila si mati juga sudah tiada ayah dan ibu, bermakna hartanya akan diagihkan kepada waris-waris lain seperti adik beradik, datuk, nenek atau waris-waris lain mengikut waris yang ada pada waktu kematiannya.

Mungkin dia boleh pertimbangkan untuk meng'hibah'kan hartanya kepada pihak tertentu seperti rumah anak yatim contohnya. 


Selain 4 kategori kes dia atas, kes dibawah juga mungkin juga boleh pertimbangkan kaedah Hibah,

5. Pasangan yang membeli harta bersama
6. Ibu bapa yang nak mengagihkan harta mereka kepada anak-anak sebelum mereka meninggal dunia untuk elak perebutan harta pusaka.


Selain itu, orang lain yang merasakan Hibah adalah pilihan yang lebih baik kepada dia, bolehlah membuat hibah harta. 

Satu senario lagi 
Seseorang dan sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak, memiliki sebuah rumah. Apabila berlaku kematian ke atasnya dan jika waris tidak dapat mencapai kata persetujuan untuk mengagihkan rumah tersebut kepada isteri dan anaknya, maka jalan terakhir adalah menjual rumah tersebut dan nilai jualan akan diagihkan mengikut faraid.

Pasti bukan itu yang diinginkan oleh si mati pada masa hidupnya. Pasti tujuan asal dia membeli rumah adalah untuk memberikan perlindungan dan keselesaan kepada isteri dan anak-anaknya.

Mungkin isteri boleh membuat tuntutan harta sepencarian (sebelum agihan faraid), tetapi ia juga mungkin akan dapat tentangan waris-waris lain. 

Boleh baca2👉👉 PERJANJIAN HARTA SEPENCARIAN


Jadi, semua orang boleh menjadi peng'hibah' atau pun pemberi hibah.

Siapa pula yang boleh menerima hibah (penerima hibah)?

Sesiapa sahaja boleh menerima hibah/penerima hibah, selagi dia berkeupayaan menerima dan memiliki harta terebut. 


Tiada halangan kepada kanak-kanak atau yang bukan mukallaf untuk menerima hibah.  Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya.

Hibah kepada Waris atau Isteri, bolehkan?
Jawapan boleh

Bolehkan hibah kepada bukan Islam?
Jawapan juga boleh.

Sesiapa sahaja boleh menerima hibah selagi syarat hibah itu dipatuhi dan dipenuhi.



Syarat dan Rukun Hibah

Hibah perlu ada 4 rukun berikut ;
1. Pemberi Hibah
2. Penerima Hibah
3. Harta Hibah
4. Akad 

1. Pemberi Hibah / Penghibah (Al- Wahib)
Penghibah hendaklah seorang yang berkelayakan seperti sempurna akal, baligh dan matang (rushd). Penghibah mestilah tuan punya barang, iaitu memiliki hak ke atas harta yang dihibahkan. 

2. Penerima Hibah / Penghibah (Al- Mawhub-lahu)
Penerima Hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja sama ada Islam atau bukan Islam, asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta tersebut. 

Sekiranya Penerima Hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, penerimaan harta Hibah boleh dibuat oleh Wali Mal atau Pemegang Amanah bagi pihaknya. Penerima Hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada Penerima Hibah.



3. Barang atau harta yang dihibahkan (Al- Mawhub)
Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat berikut :
- Barang / harta itu adalah barang/harta yang halal 
- Barang / harta itu mempunyai nilai di sisi syarak 
- Barang / harta itu milik Penghibah
- Barang/harta itu boleh diserah milikkan
Barang/harta itu  benar-benar wujud semasa aqad
Barang/harta itu tidak bersambung dengan harta Pemberi Hibah yang tidak boleh dipisahkan. 

Jadi semua jenis harta sama ada harta alih seperti wang tunai atau harta tak alih yang memenuhi syarat di atas boleh dihibahkan.

Harta alih seperti wang tunai, barangan kemas, saham syarikat, saham unit amanah, polisi insuran (nilai pampasan). 

Harta tidak alih seperti hartanah, rumah, tanah, kondominium, apartment dan eperti bangunan, rumah dan tanah yang tidak mempunyai sebarang cagaran. 


4. Sighah ( Ijab dan Qabul)

Sighah Hibah merupakan lafaz, perjanjian atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan Hibah. 

Ia mestilah ;

- Ada persambungan dan persamaan di antara ijab dan qabul
- Tidak dikenakan syarat-syarat tertentu
- Tidak disyaratkan dengan tempoh masa tertentu


Berapa kadar harta boleh dihibahkan?

Tiada had atau kadar tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan kerana harta tersebut merupakan milik pemberi hibah. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, Hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang diinginkannya.

Walau bagaimana pun, haru di ingat, bahawa selepas hibah dilakukan (hibah mutlak), hakmilik harta tersebut telah menjadi milik penerima hibah. Kalau dah serahkan kepada isteri atau suami, maka ia menjadi milik isteri atau suami.

Di dalam menentukan harta yang ingin dan perlu dihibahkan, perlu lah ingat akan pesanan Nabi Muhammad SAW supaya kita tidak meninggalkan ahli keluarga kita dalam keadaan papa.

Kepentingan Hibah

Diantara kepentingan hibah itu, ia 

1. Membolehkan pemberi hibah menyerahkan harta tanpa dihadkan kepada orang tertentu. Faraid hanya membolehkan ahli waris mendapat hak harta pusaka, manakala wasiat pula mengecualikan waris dari menerima harta pusaka.

2. Membolehkan hibah menyerahkan harta tanpa had. Faraid perlu diagihkan mengikut bahagian yang telah ditetapkan, manakala wasiat pula tidak boleh melebihi 1/3 dari jumlah bersih harta pusaka.

3. Membolehkan pemberi hibah menentukan amaun atau jumlah yang diterima oleh setiap penerima hibah, mungkin berdasarkan keadaan ekonomi penerima hibah.

JENIS HIBAH

Boleh dikategorikan hibah kepada
- Hibah Mutlak
- Hibah Bersyarat

1. Hibah Mutlak
Hibah mutlak adalah pemberian harta kepada orang lain tanpa balasan dan tanpa apa-apa syarat tertentu.

Kesan Hibah Mutlak
Apabila telah berlaku hibah mutlak, maka hak milik harta tersebut telah jatuh kepada penerima.

Contoh hibah mutlak
- 1. Si suami menghibahkan simpanan jongkong emasnya kepada isterinya.
- 2. Si ayah menghibahkan rumah kepada anaknya.

Berlaku Kematian
Oleh kerana hak milik telah berpindah, maka ia bukan lagi harta milik pemberi hibah.

Apabila berlaku kematian 
  • pemberi hibah meninggal dunia : maka harta yang dihibahkan bukan lah harta pusaka si mati. Waris tak boleh tuntut.
  • penerima hibah meninggal dunia : harta yang dihibahkan adalah harta pusaka di mati. Akan di agihkan kepada waris si mati (penerima)
Berdasarakn contoh 2 di atas, katakan si ayah telah menghibahkan rumah kepada anaknya dan berlaku kematian ke atas si ayah, maka rumah itu bukanlah harta pusaka. Jadi rumah itu akan dikeluarkan dari senarai harta pusaka si mati. Adalah sangat tidak wajar mempertikaikan hibah yang telah dibuat.

Berdasarkan contoh 2 tadi juga, tetapi si anak yang meningal dunia. Maka si ayah tidak boleh menuntut semula harta tersebut tetapi harta (rumah) tersebut perlu diagihkan mengikut faraid kerana ia telah menjadi harta pusaka si mati (anak).

Walau pun hibah ini satu kaedah yang baik, sebelum membuat hibah  itu perlulah difikirkan juga implikasinya terutama apabila membuat hibah mutlak. 

Penulis pernah membaca kisah di akhbar di mana seorang ayah telah menghibahkan rumah kepada anaknya, tetapi malang kepada si ayah kerana si anak telah menghalau si ayah selepas rumah dipindah milik. 

Pilihan kepada hibah mutlak adalah hibah bersyarat.


2. Hibah Bersyarat (Umra dan Ruqba)
Hibah bersyarat seperti namanya adalah pemberian hibah yang disertakan dengan syarat-syarat tertentu.

Hibah Bersyarat - Umra
Al-Umra bermaksud pemberian hibah semasa hidup pemberi hibah dan penerima hibah dengan syarat harta tersebut dikembalikan setelah kematian penerima hibah.
Maksudnya, kontrak hibah ini (Umra) meletakkan umur sebagai syarat pemberian hibah.


Hibah Bersyarat - Ruqba
Ruqba yang berasal dari perkataan ruqub atau taraqqub mermaksud menunggu. Dimana ia bermaksud masing-masing menunggu kematian siapa terlebih dahulu, sama ada pemberi hibah atau penerima hibah. Kontrak hibah ini diakui oleh syarak.

Jadi Hibah Bersyarat (Ruqba) ini merupakan perjanjian antara pemberi hibah dengan penerima hibah bahawa jika berlaku kematian ke atas salah seorang, maka harta hibah akan akan dipindahkan kepada pihak satu lagi yang masih hidup.

Hibah Bersyarat (Ruqba) ini banyak digunakan oleh institusi kewangan seperti syarikat takaful (mulai 2013).

Berlaku kematian
Bagi takaful contohnya, jika peserta takaful telah menandatangani dokumen hibah bersyarat ini dan; 

1. apabila berlaku kematian ke atas pemberi hibah (peserta takaful)
- maka harta hibah iaitu wang pampasan akan diberikan kepada penerima hibah.

atau

2. apabila berlaku kematian ke atas penerima hibah  
maka harta hibah akan balik semula kepada pemberi hibah dan pemberi hibah boleh menghibahkan semula harta kepada pihak lain pula.

Pembatalan atau penarikan Hibah

Sama ada pemberian hibah boleh dibuat pembatalan atau penarikan semula, ia sebenarnya terdapat beberapa pendapat ulama.

Mengikut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki, penarikan balik hibah boleh berlaku sekiranya ijab dan kabul berlaku tanpa ada penyerahan harta hibah

Namun, sekiranya penyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) berlaku, maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tiak ada kaitan dengan orang lain atau belum diserahkan / dijual kepada orang lain.


Hibah Amanah
Tabung Haji dan ASNB (Saham amanah ASB, ASN dll) antara institusi yang menggunakan konsep Hibah dan Amanah. Ini bermakna pemberian hibah berlaku dan perlantikan pemegang amanah juga berlaku.

Penulis kongsikan di artikel berikutnya..


Bersambung di artikel berikutnya.

Mat Drat @ SayangWang

Jika rasa bermanfaat , sila share 👇👇👇👇

No comments:

Post a Comment