Sunday 11 October 2020

5 HARTA SEPENCARIAN : Pengurusan Harta Pusaka




HARTA SEPENCARIAN 


SENARIO KES 

Sebelum saya kongsikan panjang lebar, kita lihat senario di bawah. Mungkin akan dapat beri sedikit gambaran kepada pembaca untuk tahu apa itu harta sepencarian dan kepentingannya.

Bayangkan sepasang suami isteri yang memiliki sebuah rumah dan sedikit aset tunai dan bank serta simpanan KWSP, hanya mempunyai beberapa orang anak perempuan. Dan si isteri pula tidak bekerja dan anak-anak mereka pula masih kecil. 

Dan berlaku kematian suami......
Bila si suami meninggal, harta pusaka yang boleh difaraidkan kepada isteri hanya 1/8 sahaja dari jumlah harta. Selebihnya akan difaraidkan kepada anak-anaknya (yang masih kecil), kepada ibu dan bapa si mati dan juga adik beradik si mati.

Pasti akan menyukarkan sedikit kepada si isteri yang tidak bekerja untuk menyara anak-anak yang masih kecil dengan bahagian 1/8. 

Si suami pasti waktu hidupnya tidak menjangkakan rumah yang dibelinya untuk perlindungan keluarganya terpaksa dijual dan dibahagikan nilainya berdasarkan faraid kepada waris-waris lain yang layak (adik beradiknya).

Jadi  dalam keadaan seperti ini, pengisytiharkan Harta Sepencarian sangat penting. Perjanjian perlu dibuat sewaktu hidup untuk mengelakkan kerumitan kepada pihak isteri untuk membuat tuntutan selepas kematian suaminya. Tanpa perjanjian/deklarasi, si isteri perlu membuat tuntutan di mahkamah.

Bayangkan pula dalam senario yang sama, cuma tidak berlaku kematian tetapi berlaku penceraian atau pun si suami berpoligami. Pasti si isteri memerlukan sedikit 'perlindungan' untuk menampung kehidupan dia dan anak-anaknya.

Jadi, pengisytiharan harta sepencarian bukan sahaja penting untuk kes kematian, ia juga sangat penting apabila berlaku penceraian dan kes poligami. 

...............................................

HARTA SEPENCARIAN


Apakah dia harta sepencarian? 

Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh dalam masa perkahwinan seorang suami dengan isterinya hasil daripada sumber-sumber atau usaha mereka bersama.

DEFINASI HARTA SEPENCARIAN

Harta sepencarian ialah harta (sama ada harta alih atau tidak alih) yang diperoleh semasa tempoh perkahwinan sama ada secara sumbangan langsung daripada satu pihak atau sumbangan langsung dari kedua-dua pihak suami isteri dalam tempoh perkahwinan mereka.

HARTA SEPENCARIAN DALAM ADAT MELAYU

Harta Sepencarian di Malaysia sebenarnya berasal daripada amalan adat dalam kalangan masyarakat Melayu iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Adat Perpatih diamalkan di Negeri Sembilan dan sebahagian kecil Melaka manakala adat Temenggung diamalkan di negeri-negeri selain dari negeri di atas.

Adat Temenggung mentakrif harta sepencarian sebagai harta yang diperoleh oleh kedua-dua suami dan isteri semasa perkahwinan. Seandainya perkahwinan itu telah mencapai usia tiga tahun dan pasangan telah mempunyai anak, maka harta sepencarian adalah harta yang pasangan peroleh atau miliki sebelum mereka berkahwin.

Mengikut prinsip asasnya, jika pasangan bercerai atau salah seorang daripada pasangan meninggal dunia maka kedua-dua pihak berhak mendapat bahagian di dalam harta sepencarian tersebut (dalam hal perceraian) atau pasangan yang masih hidup berhak mendapatkan harta sepencarian (dalam hal kematian).

HARTA SEPENCARIAN DALAM ISLAM

Harta Sepencarian (Matrimonial Property) berdasarkan peruntukan Undang-undang yang asalnya daripada Adat Melayu yang jelas tidak ada pertembungan atau bertentangan dengan Undang-undang Syara’ dan ianya sesuai dengan Ma’qasid al-Syarie’ dan akhirnya di Tanah Melayu / Malaysia diguna pakai sebagai Undang-undang Islam.

1. Kaedah fiqh adat 

Di dalam kaedah fiqh Adat yang juga dikenali dengan ‘urf menurut jumhur fuqaha’ telah ditakrifkan sebagai “sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka dan menjadi suatu perkara yang lumrah, sama ada ‘urf itu qauli atau amali, am atau khas, sahih atau fasid”.

2. Memelihara kemaslahatan atau kepentingan kedua-dua pihak dalam memelihara harta (suami dan isteri).

Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 32: “Orang-orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga.”

Untuk detail boleh rujuk Laman Web Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan. Panjang penjelasan dan mudah difahami. 


...............................................

BILA BOLEH TUNTUT HARTA SEPENCARIAN 

Harta Sepencarian bukan hanya boleh dituntut selepas kematian. 3 keadaan membolehkan tuntutan harta sepencarian dibuat 

1. Penceraian
2. Kematian
3. Suami Berpoligami

TUNTUT HARTA SEPENCARIAN BAGI ISTERI TIDAK BEKERJA

Bagi isteri yang tidak bekerja, adakah dia boleh menuntut Harta Sepencarian?
Jawapannya adalah boleh. 

Walaupun si isteri tidak bekerja dan tidak menyumbang wang ringgit dalam memperoleh harta tersebut, si isteri tetap layak menuntut.

Sumbangan bagi memperolehi harta itu bukan sahaja bermaksud membuat bayaran, tetapi juga menjaga rumahtangga, membantu suami dalam memperolehi harta tersebut juga sebenarnya menyumbang kepada pemerolehan harta tersebut.

Jadi bolehlah kita fahami yang harta sepencarian ini juga sebenarnya sebagai salah satu bentuk hadiah ataupun penghargaan kepada isteri kerana bersama-sama membantu menjaga rumahtangga sepanjang tempoh perkahwinan mereka.


Penyelesaian kes senario di atas.
Jika isteri menuntut pengisytiharan harta sepencarian, dan katakan makhamah memberikan sebanyak 1/2 dari nilai harta si mati. Maka si isteri akan mendapat 50% dari jumlah harta. 

Baki selepas ditolak bahagian Harta Sepencarian, barulah akan dibahagikan mengikut faraid kepada waris yang layak.

Jadi tanpa pengisytiharan Harta Sepencarian, si isteri hanya dapat 1/8 sahaja (kes di atas). 

Dengan pengisytiharan harta sepencarian sama ada melalui perjanjian atau pun tuntutan mahkamah, maka isteri akan dapat lebih
- 50% bahagian harta sepencarian 
- 1/8 dari baki selepas tolak bahagian harta sepencarian

...............................................

BERAPA BAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN

Bagi kes tuntutan harta sepencarian, umumnya pihak mahkamah syariah akan menentukan bahagian yang layak diperolehi oleh isteri (biasanya isteri yang akan menuntut) adalah tidak kurang dari 1/3 dan tidak melebihi 1/2 dari harta yang dituntut.

Bagi kes harta sepencarian di mana isteri tidak menyumbang secara langsung dalam pemerolehan harta tersebut, mungkin akan dapat 1/3 sahaja. Ini tidak kira sama ada isteri bekerja atau tidak (suri rumah). Yang penting adalah faktor sumbangan secara langsung.

Sekiranya si isteri ada menyumbang secara langsung, kemungkinan dia akan dapat lebih dari 1/3, tetapi tidak lebih dari 1/2 biasanya.

Jadi, faktor sama ada sumbangan secara langsung atau tidak dalam  pemerolehan harta tersebut akan menentukan bahagian yang diperolehi.



Bersambung di artikel berikutnya.

Mat Drat @ SayangWang

Jika rasa bermanfaat , sila share 👇👇👇👇

No comments:

Post a Comment