Entry sebelum ini saya menulis mengenai Wang Tidak Dituntut yang didaftar di Akauntan Negara Malaysia, dan untuk entry kali ini saya ingin menulis sedikit mengenai harta pusaka yang tidak dituntut.
Asalnya saya sangkakan 'harta' yang tidak dituntut dan telah didaftarkan di Wang Tidak Dituntut itu sudah cukup besar, rupa-rupanya ada lagi harta lain yang tidak dituntut.... iaitu harta pusaka.
Di Malaysia, permohonan harta pusaka diuruskan oleh 3 badan iaitu :
- Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG)
- Mahkamah Tinggi
- Amanah Raya Berhad
Setiap badan ada menguruskan harta pusaka mengikut kategori tertentu yang telah ditetapkan.
Di awal tahun 2016, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri memberitahu kira-kira RM 60 bilion harta pusaka tidak dituntut oleh waris simati sejak Malaysia merdeka sehingga awal tahun 2016.
Rekod harta pusaka yang tidak dituntut itu diperolehi dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), melalui Bahagian Pembahagian Pusaka (BPP) di bawah kementeriannya.
Antara faktor penyebab harta pusaka tidak dituntut dipercayai adalah kerana
- Kurang kesedaran atau tdak ambil tahu prosedur yang perlu dilalui.
- Sikap ambil mudah dan menangguhkan permohonan pembahagian harta pusaka.
- Tidak ambil tahu mengenai agensi yang mana yang sepatutnya menguruskanharta pusaka mereka.
Boleh dikatakan JKPTG merupakan agensi yang paling utama di dalam menguruskan harta pusaka di mana agensi ini menguruskan hampir 75% dari jumlah keseluruhan harta pusaka di Malaysia. JKPTG mempunya 36 Unit Pembahagian Pusaka di seluruh negara untuk membantu menguruskan tuntutan harta pusaka. Setiap unit bertanggungjawab menguruskan permohonan untuk dua hingga empat daerah di bawah kelolaannya.
Jika dilihat kepada bilangan permohonan yang perlu diuruskan dari 2-4 daerah, pasti bilangan kes agak banyak dan akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan. Walau bagaimana pun tempoh dapat dipendekkan sekiranya pemohon memberikan segala maklumat dan dokumen yang lengkap. Sebenarnya proses penyelesaian sehingga perbicaraan harta pusaka di Unit Pembahagian Pusaka di JKPTG ini lebih cepat berbanding tempoh masa penyelesaian di mahkamah, tetapi dengan syarat dokumen lengkap.
Saya mempunyai pengalaman di dalam membuat tuntutan harta pusaka lebih 10 tahun dahulu. Apa yang saya tahu sewaktu itu (melalui maklumat mulut jiran-jiran), permohonan hendaklah di buat 'Pejabat Tanah/Daerah' di unit Pembahagian Harta Kecil. Pengalaman membuat tuntutan dahulu memang mengambil sedikit masa, lebih kurang setahun lebih baru selesai semua tuntutan.
Pengalam saya juga, ada sesetengah proses menjadi lambat kerana ada pihak yang tidak mahu memberikan kerjasama atau berlaku pertelingkahan kerana tidak berpuas hati dengan jumlah harta yang bakal diwarisi.
Harta pusaka yang tidak dituntut ini sebenarnya satu kerugian ekonomi kepada masyarakat dan juga negara kerana potensi sesuatu harta itu tidak dapat diguanakn secara maksimum untuk pulangan yang optimum.
~ mat-drat~
No comments:
Post a Comment