Monday 22 August 2016

Wang Tidak Dituntut - WTD

Agak-agak anda ada tak Wang Tidak Dituntut (WTD)???

Wang Tidak Dituntut



Kalau tak pasti, cuba lihat 3 kategori wang berikut yang membolehkan ia  jatuh kedalam kategori Wang Tidak Dituntut. Kemudian cuba ingat-ingatkan kembali mana tahu anda ada WTD.


Apa Itu Wang Tidak Dituntut

Menurut Seksyen 8 Akta WTD 1965, Wang Tidak Dituntut (WTD) terbahagi kepada tiga kategori:

1. Wang yang kena dibayar kepada empunya tetapi tidak dibayarkan dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu tahun.

2. Wang dalam kredit sesuatu akaun yang tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekali pun dalam satu tempoh tidak kurang dari tujuh tahun.

3. Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga bagi satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun.



Susah nak faham?? Biasalah, ayat di dalam petikan akta memang memeningkan sikit kalau baca. 


Dibawah ni saya bagikan beberapa contoh bagi setiap kategori wang yang boleh jadi sebagai Wang Tidak Dituntut.


Kategori 1
Wang yang kena dibayar kepada empunya tetapi tidak dibayarkan dalam satu tempoh masa tidak kurang dari satu tahun.

Contoh:
  • Gaji, upah,bonus, komisen dan wang lain yang kena dibayarkan kepada kakitangan.
  • Dividen dan keuntungan yang diisytiharkan untuk dibahagikan.
  • Tuntutan insurans yang telah diluluskan untuk bayaran.
  • Draf bank, cashier’s order dan dokumen lain di mana tempoh sah lakunya telah luput.
  • Cagaran dan deposit di mana tujuan wang itu dikutip telah pun dicapai.
  • Simpanan tetap (tanpa arahan pembaharuan automatik) yang telah matang.
  • Pemiutang atau penghutang pelbagai.

Katakan seseorang pekerja yang gajinya dibayar secara tunai telah berhenti kerja dan tidak mengambil wang gajinya yang terakhir. Selepas setahun pekerja tersebut tidak menuntut wang gajinya maka wang tersebut telah menjadi Wang Tidak Dituntut dan majikan perlu meremitkan kepada Pendaftar Wang Tidak Dituntut. 

Atau WTD juga mungkin boleh jadi wang insuran yang telah diluluskan pembayaran tetapi pembayaran kepada penerima tidak dapat dibuat atas sebab-sebab tertentu, atau mungkin juga penerima tidak menerima cek pembayaran dan sebagainya. Ia mungkin kerana penerima bertukar alamat atau pun jika sudah meninggal dunia, tiada waris membuat tuntutan. Maka wang ini juga akan menjadi Wang Tidak Dituntut.



Kategori 2. 
Wang dalam kredit sesuatu akaun yang tidak dikendalikan oleh empunya dengan apa cara sekali pun dalam satu tempoh tidak kurang dari tujuh tahun.

Contoh :
  • Akaun simpanan.
  • Akaun Semasa.
  • Simpanan tetap (yang mempunyai arahan pembaharuan automatik).

Apabila sesuatu akaun bank (simpanan atau semasa) yang tidak aktif selama 7 tahun, maka pihak bank akan menglasifikasikan ia sebagai WTD. 

Ingat ye, akaun bank yang tak aktif baru setahun dua, duit di dalam akaun tersebut  tidak akan terus WTD. 


Jadi, kalau rasa pernah buka akaun bank di bank-bank tertentu, cuba lah pergi ke bank tersebut dan minta semakan dibuat. Mungkin akaun anda hanya berstatus "TIDAK AKTIF" dan belum menjadi WTD lagi. Untuk akaun bank yang tidak aktif, lakukan transaksi (deposit duit) untuk aktifkan akaun kembali. Bila dah diaktifkan kembali akaun tersebut, dan rasa tak perlukan lagi akaun tersebut maka keluarkan sahaja semua duit dan bolehlah terus tutup akaun tersebut. Tak payah tunggu jadi WTD....


Ni satu tips untuk memastikan akaun bank kita sentiasa aktif, lakukan transaksi paling kurang sekali setahun. Paling senang, buat sahaja pindahan wang secara online ke akaun tersebut. Caj pindahan secara online pun sekarang dah murah, cuma serendah RM0.10 sahaja dan ada bank tertentu tidak mengenakan sebarang caj langsung. 


Tidak seperti dahulu di mana transaksi secara online masih terhad. Adalah agak sukar dan tidak berbaloi untuk ke bank semata-mata untuk mendeposit sedikit wang bagi mengelak akaun bank menjadi tidak aktif.





Kategori 3
Wang dalam kredit sesuatu akaun dagangan yang telah tidak dikendalikan melalui apa-apa urus niaga bagi satu tempoh masa tidak kurang dari dua tahun.

Contoh :
  • Akaun pemiutang dagangan (creditor)
  • Akaun penghutang dagangan dengan baki kredit (debtor)
Untuk kategori 3 ini ia lebih kepada syarikat dan perniagaan.


Kalau anda rasa anda ada Wang Tidak Dituntut di salah satu kategori di atas, maka bolehlah buat semakan di pejabat Jabatan Akauntan Negara Malaysia.

Tapi sebelum tu sila baca 👉👉  Cara Tuntut Wang Tidak Dituntut 


Mat Drat @ Sayang Wang

Jika rasa bermanfaat, sila share  ðŸ‘‡ðŸ‘‡ðŸ‘‡

No comments:

Post a Comment