Thursday 27 July 2017

Hukum Pelaburan ASB & ASN



Hukum Pelaburan ASB ASN









Di sini saya berkongsi sedikit mengenai hukum pelaburan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional (ASB/ASN) yang dikeluarkan oleh badan-badan tertentu di Malaysia. 

Kita sebagai orang awam kadang-kadang rasa terkeliru apabila sekejap hukumnya dikatakan harus, dan sekejap dikatakan tidak halal. Dan kita juga menjadi keliru apabila wujud perbezaan pandangan diantara Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan,  Fatwa Negeri dan Suruhanjaya Sekuriti.



Perkara penting yang perlu kita ambil maklum dalam isu ini ialah perbezaan peranan antara Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan pihak manakah yang diberi autoriti dalam mengeluarkan hukum di Malaysia. 



Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja merupakan badan pengeluar dan penyelaras hukum-hakam dalam apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang bersifat nasional yang melibatkan kepentingan seluruh umat Islam.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan / Fatwa Negeri


Sebelum pergi jauh, kita sebagai orang awam perlu maklum yang kita harus sentiasa hormat kepada pihak yang diamanahkan kerajaan, terutama Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab melantik mufti untuk merungkaikan permasalahan umat mengenai hukum hakam agama. 



Kegagalan menghormati dan mengiktiraf kedudukan pihak lebih berautoriti atau berkelayakan mengeluarkan fatwalah yang menyebabkan umat menjadi celaru kerana terlalu banyak ‘ustaz’ yang sewenang-wenang mengeluarkan hukum halal-haram. 


Keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan adalah dengan melihat ruang lingkup yang lebih luas bagi menjaga kepentingan serta maslahah ummah dan juga mengambil kira aspek-aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan serta maqasid syar'riyah dan siasah syar'riah. 

Disinilah peranan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berpereranan menyatukan ummah.


Suruhanjaya Sekuriti


Dan kita juga perlu faham akan tugas Suruhanjaya Sekuriti.  

Antara peranan Suruhanjaya Sekuriti adalah untuk membuat keputusan sama ada sesuatu sekuriti itu (kes ini ASN & ASB) diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak patuh syariah.

Suruhanjaya Sekuriti antara lainnya menggunakan pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaan dan juga tanda aras nisbah kewangan di dalam menentukan sesuatu sekuriti itu status patuh syariah atau tidak. 

Jadi secara ringkasnya,  keputusan yang dibuat adalah berdasarkan garis panduan yang telah mereka tetapkan. 



Berbalik kepada polemik hukum pelaburan di ASB dan ASN ini, seingat saya ia mula dibincangkan dan diperkatakan dalam 10 tahun kebelakangan ini. Saya cuba senaraikan beberapa fatwa atau 'pandangan' yang dikeluarkan oleh pihak atau badan tertentu dalam beberapa tahun lalu. 


Fatwa Majlis Kebangsaan (2008) - Harus

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2008 telah memutuskan skim pelaburan ASB & ASN serta dividen atau bonus yang diterima pelabur adalah harus.

Dalam muzakarah yang dihadiri Ahli Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang turut diwakili mufti-mufti seluruh Malaysia dan individu-individu berkepakaran dalam bidang fekah dan muamalah telah memberikan pandangan "HARUS" atas hujah menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.




Suruhanjaya Sekuriti (2009) - Tidak Patuh

Suruhanjaya Sekuriti menerusi surat bertarikh 12 Februari 2009 kepada sebuah bank tempatan, memaklumkan bahawa Majlis Penasihat Syariahnya sudah membuat keputusan bahawa ASN & ASB tidak mematuhi Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti Berkaiatan Pelaburan Unit Amanah Islam. Atau bahasa mudahnya, pelaburan yang tidak patuh syariah.



Menurut fatwa itu lagi skim ASN dan ASB juga tidak diklasifikasikan sebagai dana unit amanah yang patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan yang haram terutamanya dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan riba.

Untuk pengetahuan, di bawah Suruhanjaya Sekuriti terdapat resolusi syariah yang jelas mengenai pelaburan saham syarikat yang terdapat percampuran dalam aktiviti dan operasinya.

Sebagai contoh, sekiranya sebuah konsortium atau syarikat yang perniagaan utamanya patuh syariah seperti konsortium hartanah tetapi anak syarikatnya terlibat dengan aktiviti perjudian, maka pihak Suruhanjaya Sekuriti akan menilai status kewangannya terlebih dahulu.

Sekiranya, pendapatan daripada syarikat judi tersebut kurang daripada 5% berbanding pendapatan keseluruhan syarikat utama, maka kaunter saham syarikat tersebut masih dianggap patuh syariah.

Walau bagaimanapun, dalam kes pelaburan ASB/ASN, dana-dana ini dilaburkan dalam syarikat kewangan konvensional berasaskan riba iaitu Maybank melebihi paras 5% yang ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti.


Fatwa Negeri Selangor (2011)- Tidak Halal

Polemik berkenaan dengan ASB dan ASN timbul dan diperkatakan semula apabila Jabatan Mufti Selangor mengeluarkan fatwa pada 2011, memutuskan skim pelaburan ASN dan ASB tidak halal kerana bertentangan dengan hukum syarak.

Antara alasan mereka ialah dana-dana ASN dan ASB secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah dan sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional.



Fatwa Negeri Selangor (2017)- Harus

Jabatan Mufti Negeri Selangor memutuskan bahawa hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus.

Keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3 yang bersidang pada 27 April lalu, menurut satu kenyataan yang dimuat naik jabatan itu di laman webnya pada 15 Mei 2017.

Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata hukum pelaburan itu adalah harus kerana peratusan pelaburan dalam syarikat patuh syaraknya telah melepasi 66% mengikut piawaian Suruhanjaya Sekuriti.

"Pengharusan ini berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang bermaksud 'Hukum Berubah Menurut Perubahan 'Illah (sebab)'," katanya dalam satu surat kepada Pengerusi Kumpulan PNB Tan Sri Abdul Wahid Omar bertarikh 11 Mei.






~Mat-Drat @SayangWang~


Jika rasa bermanfaat , sila share 👇👇👇👇







Sumber rujukan:
👉 FAQ Hukum Pelaburan ASN & ASB
👉 Petikan Astro Awani






No comments:

Post a Comment