Tuesday 12 July 2016

5 Pilihan Menabung Duit Raya



Anak anda banyak dapat duit raya?? Tak tahu nak simpan di mana?

Saya kongsikan 5 pilihan institusi untuk menabung duit raya anak-anak. Saya pilih 5 institusi ini berdasarkan pengalaman saya sebelum ini dan juga pemerhatian promosi mereka untuk tahun ini:


1. Tabung Haji

Ini pilihan utama saya. Saya selalu katakan kepada anak-anak saya, kalau dapat kumpul duit banyak, nanti boleh menunaikan ibadah haji cepat. Lagi cepat kumpul lagi cepat dapat pergi walau pun giliran yang diberikan oleh Tabung Haji adalah berpuluh tahun lagi. Yang penting kita cukupkan dahulu duit dulu. Dan saya juga pesan, nanti kita boleh pergi sam-sama satu keluarga.

Jika belum mempunyai akaun Tabung Haji, boleh buka akaun dengan pergi ke kaunter Tabung Haji. Akaun juga boleh dibuka di Bank Rakyat atau Bank Islam. Nak buka kauan, hanya perlukan simpanan permulaan serendah RM 2 sahaja. Jangan lupa bawa MyKid dan Sijil Kelahiran untuk pengesahan semasa ingin membuka akaun.




Untuk yang telah mempunyai akaun, menambah simpanan di sini satu pilihan yang bijak juga kerana dividen dan bonus yang dibayar oleh Tabung Haji boleh lah dikatakan agak tinggi berbanding institusi-institusi lain. Jika mendeposit di kaunter tu nanti, cuba lah tanya dengan petugas, kalau-kalau ada disediakan cenderahati. Anak-anak pasti suka jika dapat cenderahati terutama tabung replika Bangunan Tabung Haji itu sendiri.

Opss.... kalau dah cukup simpanan anak RM1,300 tu, jangan lupa daftarkan terus untuk menunaikan haji. Apabila dah daftar, terus akan dapat giliran menunaikan haji pada tahun bila. Jangan terkejut sudah la bila tengok tahun yang diberikan.!! Nak daftar pergi haji, bukan sahaja boleh dibuat di kaunter Tabung Haji, ia juga boleh dilakukan di kaunter Bank Rakyat dan kaunter Bank Islam.

Bagi saya, selain menabung untuk matlamat utama pergi haji dan dividen yang diberikan agak tinggi, saya suka menyimpan di Tabung Haji kerana Tabung Haji menawarkan beberapa manfaat lain kepada pendeposit terutama kepada anak-anak saya. Jadi daftar juga untuk menjadi ahli Kelab TAHA dan nikmati kelebihan dan janagn lupa untuk turut serta di dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Kelab TAHA. Baca entry berkaitan Kelab TAHA di sini
.

2. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB)

Untuk makluman, ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) sedang mengadakan kempen #SyioknyaMelaburDuitRaya. Kempen ini untuk menggalakkan ibubapa melaburkan duit raya anak-anak ke akaun ASNB seperti ASB dan ASB2.

Simpan duit raya di ASNB ini sebenarnya kita bukan sahaja mendidik anak-anak menabung, tetapi memberi sedikit pendedahan kepada mereka ilmu pelaburan. Sebab tu kempen ASNB ini dinamakan #SyioknyaMelaburDuitRaya.

Menurut maklumat dari Facebook Amanah Saham Nasional Berhad, setiap pelaburan yang dibuat di cawangan ASNB akan berpeluang mendapat cenderahati ekskusif (akan diberi terus). Manakala pelaburan yang dibuat melalui ejen yang dilantik, pelabur perlu PM (Private Massage) ke FB ASNB bukti transaksi untuk mendapatkan cenderahati tersebut. Dimaklumkan juga bahawa cenderahati adalah terhad dan tertakluk selagi stok masih ada. Boleh rujuk Facebook ASNB untuk maklumat lanjut.

Cenderahati yang ditawarkan adalah :
Pelaburan RM 10 - RM 100 : Dapat cenderahati 1 X Tabung
Pelaburan RM 101 keatas : Dapat cenderahati 1 X Beg Galas Lipat

Tapi ingat ye, kempen ini hanya untuk pelaburan di dalam akaun Remaja/Bijak sahaja. Jangan pulak kita yang terlebih dewasa ni tuntut cenderahati bila masukkan duit dalam akaun kita nanti.

Kalau belum mempunyai akaun, boleh datang ke kaunter cawangan ASNB untuk membuka akaun dengan pelaburan minimum hanya RM 10 untuk ASB dan ASB2. Pelaburan minimum untuk membuka akaun lain pula adalah RM100. Akaun juga boleh dibuka di ejen ASNB di Maybank, CIMB, RHB dan Pejabat Pos

Kalau cerita bab pelaburan kena la ambil tahu pasal pulangan dividen dan bonus. Boleh kata setakat ini saya sangat berpuas hati dengan dividen dan bonus yang diterima dari ASNB (untuk akaun ASB). Untuk melihat sejarah dividen dan bonus ASB boleh klik link ini.



3. SSPN-i / SSPN-i Plus

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga turut mengadakan kempen menggalakkan ibubapa menyimpan duit raya anak-anak ke akaun SSPN-i / SSPN-i Plus.

SSPN-i adalah akaun simpanan biasa manakala SSPN-i Plus pula kadalah akaun simpanan beserta perlindungan insuran (takaful). Jika ingin masukkan duit sekali sahaja, bukalah akaun SSPN-i. Untuk akaun ini,  simpanan minima permulaan adalah RM10 sahaja. Tiada had minima untuk tambahan simpanan.

Manakala akaun SSPN-i Plus pula memerlukan pendeposit memasukkan duit pada amaun yang tetap setiap bulan mengikut package yang dipilih serta sehingga tempoh yang ditetapkan. Package terendah adalah sebanyak RM30 sahaja sebulan. Boleh baca lanjut berkaitan Akaun SSPN-i Plus di sini. >> Menabung untuk simpanan Masa Depan? Klik Disini! <<

Untuk membuka akaun SSPN-i Plus pula sekarang amatlah mudah. Semuanya boleh dilakukan secara online sahaja. Hanya perlu ikut langkah yang ditetapkan, isi naklumat yang berkaitan dan buat bayaran. Cukup senang tanpa perlu lagi ke kaunter SSPN.  SSPN i Plus Online, Segalanya Mudah? Klik Disini!

Dan pulangan dari SSPN-i setakat ini juga tidak mengecawakan saya. Selain itu, penyimpan juga layak untuk menuntut pelepasan cukai untuk simpanan yang dibuat sehingga RM 6,000. Boleh baca juga entry saya sebelum ini berkaitan pelepasan cukai SSPN-i di sini.





4. Bank Rakyat

Anak-anak saya suka betul kalau pergi bank rakyat untuk masukkan duit raya mereka. Apa tidaknya, setiap kali menyimpan terutama selepas Aidilfitri, ada sahaja cenderahati yang ditawarkan oleh Bank Rakyat.

Pada tahun ini juga, Bank Rakyat mengulangi kempen tahun sebelum ini untuk menggalakkan anak-anak menyimpan duit raya mereka melalui kempen Program Pecah Tabung.

Boleh rujuk laman web mereka atau Facebook mereka untuk mendapatkan lokasi dan tarikh Program Pecah Tabung akan diadakan.. Untuk tahun ini, peraduan mewarna turut akan diadakan semasa Program Pecah Tabung diadakan . Hadiah yang ditawarkan bagi pertandingan mewarna adalah RM100 bagi 10 orang pemenang untuk setiap kategori iaitu bagi  kategori 7-9 tahun dan kategori 10-12 tahun.

Jangan lupa bawa duit raya banyak-banyak kerana Bank Rakyat menawarkan hadiah yang sangat menarik untuk Program Pecah Tabung ini. Bak kata Bank Rakyat, lagi banyak duit raya lagi cerah untuk memenangi hadiah yang ditawarkan.

Lihat senarai hadiah yang ditawarkan.... pasti teruja!!

Hadiah yang ditawarkan agak lumayan bagi kanak-kanak iaitu :RM1,000 untuk tempat pertama, RM500 (kedua), RM400 (ketiga), RM300 (keempat) dan RM200 (kelima). Bagaimana pemenang dipilih, kena baca terma dan syarat di laman web rasmi mereka. Program Pecah Tabung




5. BSN

Selain 4 destinasi terakhir duit raya anak yang saya cadangkan di atas, mungkin boleh pertimbangkan untuk simpan duit raya anak-anak di BSN.

Apakata simpan duit raya anak anda di SSP-i. Dengan minimum simpanan sebanyak RM10, ia akan melayakkan untuk 12 cabutan bulanan SSP. Jika simpanan melebihi RM3,000 pula, tambahan 2 cabutan bertuah lagi akan diperolehi iaitu untuk 2 kali Cabutan Istimewa. Untuk terma dan syarat, sila rujuk laman web rasmi BSN di sini.

Siapa tahu, dengan simpanan RM10, membolehkan anak-anak kita pulang dengan hadiah yang menarik. Rezeki siapa yang tahu. Kalau dapat kereta BMW..... bolehla ayahnya yang pandu.

Tambahan lagi.... untuk anak remaja pula ( 12 -17 tahun) mereka layak untuk menyertai 'Junior Draw'.  Terdapat 2 cabutan untuk mereka untuk Junior Draw ini iaitu Normal Draw dan Special Draw.

Saya copy n paste dari laman web BSN :

- Depositors aged 12 to 17 years old are eligible to participate in Junior Draw.
- Divided into two categories which are Normal and Special. 
- Eligibility to participate in Junior Draw:
Normal Draw – Minimum savings of RM50
Special Draw – Minimum savings of RM1,000
- Junior Draw will be held on monthly basis.
- The main prize is BSN SSP RM10,000 (Special Draw) and iPhone 6 (Normal Draw).

Selain menyimpan melalui SSP-i, boleh juga buka akaun simpanan Giro-i. Untuk membuka akaun simpanan Giro-i, hanya perlukan simpanan permulaan serensdah RM 10 untuk kanak-kanak dan RM50 untuk remaja (13 tahun ke atas).






Selain dari 5 institusi yang saya nyatakan di atas, ada juga institusi lain yang mengadakan promosi untuk menggalakkan simpanan untuk anak-anak. Buka sahaja laman web rasmi Bank Islam, RHB, HLB, Maybank, VIMB dan lain-lain.



Walaupun 1 Syawal telah berlalu tetapi 'semangat' Aidilfitri masih terus dirasai untuk sebulan ini terutama bagi mereka yang berada di Bandar. Waktu ini lah masa untuk menziarahi rumah rakan-rakan sepejabat, memenuhi jemputan rumah terbuka dan juga berkunjung ke rumah kaum kerabat. Pasti duit raya anak-anak akan bertambah. Bagi anak-anak, misi mengumpul duit raya masih terus berjalan. Misi belum tamat bagi mereka. 

Kita sebagai ibubapa, perlu ingatkan anak-anak bahawa Aidilfitri bukan masa untuk mengutip duit raya jika diberi kena terima dan jangan sekali-kali meminta.

Ibubapa yang prihatin akan ambik tahu jumlah duit raya yang dikumpul oleh anak-anak kita. Anak-anak ni, kalau boleh semua duit raya tu hendak dibelanjakan.... nak beli itu dan ini.... macam-macam dalam fikiran mereka, ada yang nak beli handphone, tab kereta control, PS4, PSP, drone dan sebagainya. Kalau kita tak pantau, boleh habis dibelanjakan oleh mereka. Kalau kes haru lagi, duit raya mereka boleh hilang apabila dibawa semua duit raya mereka ke sekolah untuk ditunjuk kepada kawan-kawan. Kalau tak habis dibelanja bersama kawan-kawan, boleh hilang diambil pula.

Kalau yang ada anak remaja pula, selain hendak tukar handphone.... duit raya pasti akan banyak habis untuk top-up telefon mereka. Untuk anak remaja, kena pandai-pandailah slow talk dengan mereka untuk galakkan mereka menyimpan sebahagian duit raya mereka.

Saya seperti biasa, seperti tahun-tahun sebelum ini akan beri sebahagian duit raya kepada mereka untuk mereka belanja atau beli yang mereka inginkan. Sebahagaian besarnya pula akan saya simpan di akaun simpanan mereka.Anak yang bersekolah rendah pula, memang saya akan simpan 100% di dalam akaun bank.

Kesimpulannya, kita sebagai ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak di dalam pengurusan kewangan. Bukan sahaja perlu berbelanja berhemah, tetapi perlu memilih tempat simpanan/pelaburan yang terbaik untuk anak-anak kita.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya.






No comments:

Post a Comment