Saturday 20 February 2016

Dividen KWSP 2015 - 6.40%

20.02.2016
Petikan dari laman web rasmi KWSP.


Dividen KWSP 2016
KWSP



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dengan kelulusan Kementerian Kewangan, hari ini mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.40 peratus untuk 2015 dan pembayaran dividen sebanyak RM38.24 bilion. Sebanyak RM5.98 bilion diperlukan untuk membayar setiap satu (1) peratus kadar dividen bagi tahun tersebut, yang merupakan peningkatan 10.13 peratus berbanding RM5.43 bilion dalam 2014. Peningkatan ini selaras dengan pertumbuhan aset pelaburan KWSP kepada RM684.53 bilion setakat 31 Disember 2015.


KWSP mencatat pendapatan kasar sebanyak RM44.23 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, peningkatan sebanyak 13.18 peratus berbanding RM39.08 bilion pada 2014.


Pengerusi KWSP Tan Sri Samsudin Osman berkata, “Pendapatan pelaburan kasar yang dicapai adalah menerusi strategi kepelbagaian merentasi kelas asset dalam beberapa negara dan pasaran. Walaupun korelasi antara pasaran global adalah tinggi, strategi kepelbagaian ini membuka peluang kepada kami untuk menjana keuntungan dan mengenalpasti pelaburan berpotensi pada pentaksiran yang menarik.”


Langkah kepelbagaian dalam pasaran global dan mata wang membolehkan KWSP untuk mengaut pulangan signifikan dari sumber bukan Ringgit yang merangkumi 48 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP sepanjang tahun tersebut.


“Sebagai dana simpanan persaraan, pelaburan kami sentiasa tertumpu kepada usaha untuk mendapatkan pulangan pendapatan jangka panjang yang mampan berbanding pulangan jangka pendek. Kami berbesar hati untuk mengumumkan kadar dividen 6.40 peratus yang menunjukkan prestasi yang membanggakan walaupun berhadapan dengan cabaran semasa.



“Adalah penting keupayaan kami untuk mencapai sasaran pelaburan strategik sekurang-kurangnya 2.5 peratus dividen nominal selaras dengan peruntukan Akta KWSP 1991 dan sekurang-kurangnya dua (2) peratus pulangan melebihi inflasi untuk purata tiga tahun berturut-turut,” kata Tan Sri Samsudin. Tambah beliau, bagi 2015, dividen sebenar untuk purata tiga tahun berturut-turut adalah 4.05 peratus, iaitu 205 mata asas lebih tinggi dari yang disasarkan.



Mengulas tentang ekonomi 2016, Tan Sri Samsudin berkata tahun ini dijangka lebih mencabar. “Berikutan kombinasi antara ketidakpastian kadar pertumbuhan dan kemerosotan harga komoditi telah menyaksikan kejatuhan indeks utama, termasuk FBMKLCI, sejak awal tahun. Keadaan ekonomi semasa adalah berbeza dengan separuh tahun pertama 2015 di mana pelaburan global kami mampu mengimbangi kesan kelembapan pasaran domestik. Ketidaktentuan pasaran mata wang juga dijangka memberi cabaran kepada KWSP untuk mengulangi pencapaian yang sama pada tahun 2015. 









“Walau bagaimanapun, kami terus melindungi dan meningkatkan nilai simpanan ahli dengan memberikan pulangan yang stabil dan konsisten dalam jangka panjang selaras dengan had risiko yang bersesuaian,” kata beliau.

.....................

Kadar 6.40% yang diumumkan ini walau pun agak rendah berbanding tahun sebelum, tetapi ianya sudah cukup menggembirakan para pencarum di dalam keadaan ekonomi dan pasaran sekarang.
Penyata akaun KWSP yang telah dikreditkan dividen 2015 boleh didapati secara online menerusi i-Akaun di laman web myEPF (www.kwsp.gov.my). Ahli juga boleh mendapatkan penyata melalui kios KWSP atau berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP bermula Ahad, 21 Februari 2016.


Rekod Pembayaran Dividen KWSP  bagi 10 tahun terakhir :

2006   - 5.15 %
2007   - 5.80 %
2008   - 4.50 %
2009   - 5.65 %
2010   - 5.80 %
2011   - 6.00 %
2012   - 6.15 %
2013   - 6.35 %
2014   - 6.75 %
2015   - 6.40 %



No comments:

Post a Comment